US dolar didagangkan meningkat pada Rabu semalam dari paras terendah 2 bulan disokong oleh terbitan beberapa data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif.
Data tuntutan faedah pengangguran AS catat angka lebih perlahan pada minggu sebelum ini iaitu 209,000 berbanding ramalan 226,000.
Angka tersebut juga rendah berbanding bacaan sebelumnya yang dikemas kini kepada 233,000.
Sementara, data tinjauan keyakinan pengguna AS oleh Universiti Michigan catat peningkatan yang positif untuk bulan November bagi bacaan yang dikemas kini.
Namun, data pesanan barangan tahan lama AS memaparkan bacaan kurang memberangsangkan untuk Oktober dengan penguncupan -5.4% lebih buruk berbanding ramalan -3.2%.
Ini berikutan penurunan pada pesanan peralatan dan kenderaan bermotor disebabkan oleh mogok yang dilancarkan oleh United Auto Workers (UAW) terhadap pembuat kereta Detroit’s Big Three.
Justeru, US dolar dilihat meneruskan pemulihan sejak Selasa lalu setelah kejatuhan nilai yang berterusan sehingga pembukaan dagangan awal minggu ini.
Indeks dolar (DXY) menunjukkan peningkatan sederhana ke paras 104.20 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS kekal mendatar di sekitar zon 4.40%.
Pergerakan bagi mata wang US dolar hari ini (Khamis) berkemungkinan perlahan ekoran pasaran AS ditutup sempena Thanksgiving Day.
Pemulihan US dolar menuju ke penghujung minggu ini dilihat kembali memberi tekanan semula kepada mata wang utama yang telah berjaya pamerkan peningkatan positif sebelum ini.
Perkembangan pasaran komoditi, berlaku pergerakan volatile pada harga minyak mentah semalam berikutan laporan berkenaan penangguhan mesyuarat OPEC+ yang dijadualkan pada Ahad ini.
Sementara dagangan emas terus memberi keterujaan buat pelabur apabila kenaikan harga berterusan telah mencapai zon kritikal $2,000.
Harga emas walau bagaimanapun dilihat bergelut untuk kekal di atas zon tersebut dan mula paparkan penurunan awal di sesi New York semalam.