Bacaan terbaru dalam data inflasi Amerika Syarikat mengejutkan pasaran dengan mencatatkan penurunan yang lebih perlahan daripada dijangkakan.
Indeks harga pengguna (CPI) AS menunjukkan peningkatan 6.4% tahun ke tahun pada Januari daripada 6.5% bulan sebelumnya, tetapi meleset berbanding jangkaan untuk kenaikan 6.2%.
Pun begitu, ia masih merupakan bacaan terendah yang pernah dicatatkan sejak Oktober 2021, dan menurun untuk tujuh bulan berturut-turut.
Sementara pada asas bulanan pula inflasi pengguna menepati jangkaan dengan meningkat kepada 0.5% daripada penyusutan 0.1% yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Reaksi US dolar pada mulanya menunjukkan peningkatan sebaik sahaja data tersebut dikeluarkan sebelum sedikit susut tidak lama selepas itu.
Ini mungkin tindak balas awal pasaran yang melihat angka lebih rendah daripada dijangkakan, dan setelah menilai semula inflasi sebenarnya masih memaparkan penurunan walaupun pada kadar lebih kecil.
Namun, ia mungkin memberi peluang buat Federal Reserve (Fed) meneruskan kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas atau mengekalkannya tinggi untuk beberapa waktu.
Susulan data tersebut, pelabur memberi tumpuan kepada kenyataan pembuat dasar Fed untuk mendapatkan petunjuk tentang pandangan baharu mereka selepas laporan inflasi dikeluarkan.
Presiden Fed Dallas, Lorie Logan mengatakan bank pusat perlu sentiasa bersedia meneruskan kenaikan kadar untuk tempoh lebih lama daripada yang dijangkakan sebelum ini.
Sementara Presiden Fed New York, John Williams pula mengatakan bahawa usaha untuk mengawal inflasi masih belum selesai.