Greenback terus memperpanjangkan pengukuhan dengan melonjak lebih tinggi pada pembukaan dagangan sesi Eropah.
Perkembangan mengenai isu siling hutang terus mempengaruhi sentimen pasaran di mana pertemuan terbaru antara Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan penggubal dasar tertinggi Kongres berakhir dengan nada yang optimis.
Speaker Dewan Perwakilan Kevin McCarthy berkata terdapat kemungkinan bahawa perjanjian akan dapat dicapai pada akhir minggu ini.
Susulan daripada pengukuhan US dolar, kebanyakan mata wang utama terus didagangkan lebih rendah.
Ini diperlihatkan pada dagangan dolar Aussie yang merosot ke paras terendah satu minggu, gagal memanfaatkan bacaan data pertumbuhan upah Australia yang kekal tinggi pada suku pertama.
Dolar kiwi pula bertahan daripada mencatat kejatuhan, selepas disokong oleh jangkaan untuk kenaikan kadar faedah yang selanjutnya daripada Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) akan datang.
Selain itu, mata wang euro pula menyusut lebih jauh ketika pasaran memberi perhatian kepada kenyataan pembuat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) mengenai prospek dasar monetari seterusnya.
Mata wang pound juga jatuh lebih rendah menjelang ucapan Gabenor Bank of England (BOE) Andrew Bailey pada sesi Eropah.
Sementara itu, dolar Kanada turut merosot, gagal mengekalkan pengukuhannya yang diraih susulan data inflasi Kanada yang lebih kuat.