“Kalau macam ni tak payahlah orang susah-susah nak pergi mahkamah, bicara di alam maya je.”
Realiti maya (VR) Mark Zuckerberg mungkin mengalami kerugian besar, tetapi Columbia menjadi negara pertama di dunia yang menganjurkan perbicaraan mahkamah dalam metaverse Meta pada minggu lepas.
Penggubal undang-undang Columbia di negara Amerika Selatan itu didapati mengadakan perbicaraan selama dua jam menggunakan Horizon Workrooms, platform Meta yang membenarkan sekumpulan individu berkumpul melalui ruang kerja maya.
Diperjelaskan lebih lanjut, perbicaraan itu akan disiarkan secara langsung di YouTube, di mana mereka yang hadir akan muncul sebagai avatar sementara peguam Columbia pula perlu memakai set kepala maya untuk mengambil bahagian.
Menurut María Victoria Quiñones Triana, majistret mahkamah Magdalena menyatakan bahawa penggunaan teknologi maklumat dapat memudahkan proses keadilan, misalnya perbicaraan itu yang melihat pengadu ingin menyaman polis telah selesai dengan pantas.
Walaupun kebanyakan individu memuji langkah baharu Columbia tersebut, terdapat segelintir individu berpendapat melihat tokoh seperti kartun adalah sama sekali tidak masuk akal susulan ia akan menghilangkan keseriusan dalam membicarakan sesuatu kes.
Meta yang sebelum ini dikenali sebagai Facebook telah melabur berbilion-bilion ke dalam teknologi metaverse tetapi malangnya masih belum melihat kejayaan apabila projek tersebut dilaporkan rugi sebanyak $4.28 bilion pada 2022.
Meskipun begitu, Zuckerberg yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta sungguh yakin teknologi Artificial Intelligence (AI) bakal membangun dalam tempoh terdekat ini manakala metaverse pula untuk tempoh jangka panjang.