Menjengah masuk ke sesi Eropah, pasaran dihiasi oleh penerbitan data pekerjaan UK yang menunjukkan bacaan bercampur-campur pada bulan Mei.
Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) melaporkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.0% dalam tempoh tiga bulan hingga Mei, naik daripada 3.8% yang dicatatkan sebelumnya.
Namun komponen yang paling menjadi tumpuan sebagai petunjuk utama inflasi, iaitu indeks purata pendapatan dilaporkan kekal lebih tinggi.
Purata pertumbuhan gaji termasuk bonus meningkat sebanyak 6.9% tahun ke tahun pada bulan Mei berbanding jangkaan untuk meningkat 6.8%, bacaan tertinggi dicatatkan sejak Ogos 2021.
Sementara pertumbuhan gaji tidak termasuk bonus pula meningkat 7.3%, paling tinggi sejak Jun 2021 berbanding 7.1% yang dijangkakan.
Tidak mengambil kira ketika pandemik Covid-19, ini merupakan bacaan tertinggi pernah dicatatkan dalam rekod.
Penganalisis berpandangan bahawa pasaran buruh di UK masih terlalu ketat, kerana pertumbuhan gaji kekal tinggi melebihi kebiasaan.
Angka-angka ini adalah yang pertama daripada dua data penting yang akan dilihat Bank of England (BOE) untuk menentukan keputusannya pada mesyuarat awal bulan Ogos nanti.
Pun begitu, pelabur mata wang pound masih gagal memberi reaksi ketara susulan data tersebut, melihatkannya didagangkan sedikit susut dari puncak tertinggi 15 bulan berbanding US dolar.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.