“Macam peroleh keuntungan dengan cara tidak baik je ni.”
Seorang pedagang mata wang kripto tidak dikenali menjana keuntungan melebihi $100,000 selepas membeli aset digital Gains Network (GNS) bernilai $208,335 hanya beberapa minit sebelum syarikat exchanger kripto Binance menyenaraikan token itu.
Melalui pemerhatian, GNS berjaya melonjak sebanyak 51% menembusi paras harga $13 selepas penyenaraian tersebut namun kini susut semula pada $9.34 dalam tempoh 24 jam terakhir.
Pada bulan lepas, Conor Grogan yang merupakan ketua produk Coinbase menyatakan bahawa wallet individu menjana keuntungan lumayan itu adalah sama seperti peristiwa tahun lalu, di mana wallet tersebut secara konsisten mengumpul aset digital sebelum disenaraikan di Binance.
Pada sisi berbeza, bekas pengurus produk Coinbase bernama Ishan Wahi pada awal bulan ini mengaku bersalah menyertai skim dagangan orang dalam untuk mengaut keuntungan sebanyak $1.1 juta dalam kripto.
Susulan isu itu, Changpeng Zhao (CZ), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Binance mengkritik tindakan pekerja Coinbase tersebut dengan berkata bahawa Wahi harus dikenakan hukuman berat ekoran ia adalah kesalahan jenayah.
Hal ini kerana walaupun Binance memulakan dasar tadbir urus sendiri untuk menghalang pekerja berdagang dalam tempoh singkat, individu seperti Wahi tetap menyampaikan maklumat sulit mengenai aset digital yang akan disenaraikan tidak lama lagi kepada abang atau rakannya.
Tidak seperti Coinbase yang memiliki beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS), kebanyakan syarikat exchanger kripto termasuk Binance menjalankan sebahagian besar perniagaannya globalnya di luar bidang kuasa pengawal selia AS.