Mata wang yen menunjukkan pengukuhan ketara pada sesi Eropah susulan laporan yang mengatakan Kazuo Ueda akan dilantik sebagai gabenor Bank of Japan (BOJ) seterusnya.
Beliau dikatakan bakal menggantikan Haruhiko Kuroda yang akan menamatkan penggalnya pada bulan April.
Pelantikan Ueda dilihat sebagai mengejutkan oleh pasaran, apatah lagi sebelum ini terdapat ura-ura yang mengatakan Masayoshi Amamiya yang dovish akan dilantik menggantikan Kuroda.
Ueda Hawkish atau Dovish?
Mungkin ini boleh dijadikan petunjuk kepada pendirian Ueda yang masih tidak diketahui sama ada beliau seorang yang hawkish atau dovish.
Pada Julai tahun lepas, Ueda memberi amaran kepada BOJ terhadap kenaikan kadar faedah yang terlalu awal hanya kerana inflasi melebihi 2% buat sementara.
Bagaimanapun, beliau juga turut mencadangkan bahawa bank pusat perlu mempertimbangkan strategi untuk keluar daripada dasar monetarinya yang longgar dan mengkaji semula program rangsangan luar biasa pada suatu ketika.
Sekiranya dengan pelantikan Ueda membawa makna kepada berakhirnya pelonggaran dasar BOJ, maka ini peluang baik untuk yen meningkat.
Namun, jika pendirian beliau sama dengan Kuroda, maka lambat lagilah BOJ akan laksanakan pengetatan.
Ketika penulisan, yen diniagakan meningkat pada sekitar harga 130.00 berbanding greenback, sedikit susut daripada paras tertinggi harian 129.80 susulan reaksi awalnya selepas laporan tersebut.