Ukraine sedang bersedia untuk serangan lebih besar Rusia yang berkemungkinan berlaku dalam dua hingga tiga minggu akan datang.
Kenyataan itu dibuat oleh pegawai keselamatan tertinggi presiden Ukraine dalam satu wawancara pada hari Rabu bersama Sky News.
Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine, Oleksiy Danilov berkata pertempuran paling kuat akan berlaku dan beberapa bulan akan datang bakal menjadi tempoh kritikal dalam menentukan perjalanan perang itu.
Ekoran itu, beliau menggesa sekutu barat untuk menghantar lebih banyak senjata, termasuk jet Typhoon Tentera Udara Diraja dari Uk dan pesawat pejuang daripada negara lain.
Danilov memberi amaran bahawa Presiden Vladimir Putin sedang mengumpulkan segala yang mungkin dan melakukan latihan sebagai kesediaannya untuk meningkatkan perang di Ukraine.
Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa Kremlin akan cuba melancarkan serangan lain dari utara, selatan dan timur, seperti yang tercetus pada 24 Februari 2022.
Justeru, Danilov mengatakan tentera Ukraine juga bersedia untuk semua kemungkinan tersebut dan kali ini mereka mendapat lebih banyak sokongan daripada negara Barat seperti UK berbanding setahun lalu.
Walaupun begitu, seorang pegawai Barat berkata bahawa mereka belum melihat tanda Putin sedang merancang sesuatu secara khusus dalam beberapa minggu akan datang.