- Indeks dolar terlemah 7 bulan
- Kenyataan penggubal dasar Fed sokong jangkaan pasaran
- Ucapan Jerome Powell jadi tumpuan
Sesi Asia menyaksikan mata wang gergasi USD kekal didagangkan melemah ketika sentimen pasaran yang terus meningkat membantu pengukuhan mata wang berisiko.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan suram pada paras terendah 7 bulan pada 103.12.
Pelabur menilai data ekonomi Amerika Syarikat yang dikeluarkan Jumaat lalu mencadangkan bahawa Federal Reserve (Fed) boleh memperlahankan kadar pengetatannya.
Ini disokong oleh kenyataan daripada penggubal dasar bank pusat, Presiden Fed San Francisco, Mary Daly yang mengatakan kenaikan 50 mata atau 25 mata asas berada dalam pertimbangan untuk mesyuarat seterusnya.
Sementara itu, sentimen pasaran terus didukung oleh pembukaan semula China yang mendorong harapan untuk pemulihan lebih kuat dari ekonomi gergasi kedua dunia itu.
Mata wang sensitif risiko, dolar Australia kukuh berdiri pada paras terkuat hampir 5 bulan, manakala dolar New Zealand pula menguat pada paras tertinggi 3 minggu berbanding USD.
Di Eropah, euro terus memanfaatkan kelemahan secara meluas dengan didagangkan lebih kukuh pada paras tertinggi 7 bulan berbanding greenback, sementara pound pula meninggi di paras terkuat 3 minggu.
Secara keseluruhan, dagangan mata wang utama kekal mencatatkan pengukuhan berbanding greenback, namun pergerakan harga dilihat lebih perlahan.
Ini mungkin turut dipengaruhi oleh kewaspadaan pelabur menjelang ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell pada sesi New York akan datang yang pastinya menggegarkan pasaran.