Mata wang US dolar didagangkan positif pada pembukaan awal minggu ini, namun pelabur masih berjaga-jaga dengan risiko penyusutan yang boleh berlaku semula ke atas raja mata wang itu.
Ini disebabkan kebimbangan terhadap sektor buruh di Amerika Syarikat (AS) selepas bacaan laporan pekerjaan NFP minggu lalu catat bacaan merosot bagi bulan Oktober dan dijangka akan terus memberi tekanan kepada US dolar hingga minggu ini.
Justeru itu, pasaran telah mula beralih pandangan untuk kenaikan kadar akan terus dikekalkan oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat Disember nanti.
Seterusnya data inflasi AS akan menjadi tumpuan berikutnya pula pada minggu hadapan.
Turut dilihat menyokong US dolar di awal minggu apabila hasil perbendaharaan AS 10-tahun kembali melantun semula setelah jatuh mencecah sekitar 4.50%, begitu juga indeks dolar yang sedikit pulih menuju paras 105.00 mata.
Pergerakan pasaran perlahan pada Isnin semalam ketika kekurangan data-data ekonomi penting yang menjadi tumpuan.
Perhatian akan mula diberikan kepada keputusan mesyuarat bank pusat Australia pada jam 11.30 pagi waktu tempatan.
Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat terbaru sebanyak 25 mata asas dari paras 4.10% kepada 4.35%.
Kenyataan susulan bank pusat akan diteliti pelabur dan akan memberi reaksi pergerakan mata wang dolar Aussie sebentar lagi.
Termasuk dolar Aussie, mata wang Eropah dan lain-lain sedikit ditekan pada dagangan awal minggu dengan pergerakan US dolar yang sedikit kukuh.
Pun begitu, penganalisi pasaran memberi amaran arah pergerakan harga boleh berubah semula dengan risiko penyusutan US dolar untuk berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah dilihat gagal untuk melonjak walaupun Arab Saudi dan Rusia bersetuju untuk meneruskan langkah pengurangan pengeluarang bekalan minyak mentah sehingga penghujung 2023 ini.
Sementara, dagangan emas dilihat semakin susut lebih rendah sekitar $1,975 selepas kenaikan harga pada penutup minggu lalu gagal untuk melepasi paras kritikal $2,000.