Bukan pembukaan awal minggu yang baik buat pelabur emas apabila terpaksa menyaksikan harga logam kuning itu susut ke paras $2,600 semalam.
Namun, amaran telah pun diberikan terlebih awal oleh penganalisis berkenaan risiko ketidakstabilan pasaran di penutup dagangan tahun 2024 ini.
US dolar menunjukkan pengukuhan awal sebelum 2025 bermula sekaligus turut memberi tekanan terhadap emas, namun pergerakan harga dilihat kekal dalam julat yang perlahan.
Setelah mendatar sepanjang minggu lepas, harga pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar mula menunjukkan penurunan ke paras 2600.00 di sesi New York semalam.
Namun paras tersebut dilihat sebagai paras sokongan yang diuji sebelum harga melantun sedikit untuk paparkan pergerakan mendatar sehingga dagangan sesi tersebut berakhir.
Pergerakan harga yang berada di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta XAU/USD itu menunjukkan isyarat bearish buat emas.
Harga mendatar di atas 2600.00 sepanjang sesi Asia hingga menjengah ke awal sesi Eropah, namun pergerakan harga boleh jadi lebih rancak di sesi New York.
Sekiranya harga menyambung corak semalam, harga yang susut di bawah paras 2600.00 boleh mengheret penurunan lebih rendah ke bawah.
Melepasi 2580.00 akan mencatatkan paras terendah terbaru 7 minggu buat emas sebelum mensasarkan sehingga sekitar 2530.00 pula untuk penurunan lanjut.
Sementara untuk jangkaan bagi kenaikan harga pula jika berlaku, melepasi halangan MA50 boleh mendorong harga meneruskan kenaikan mengatasi paras minggu lalu.
Kemudiannya zon antara 2650.00 hingga 2670.00 akan kembali menjadi tumpuan untuk diuji semula harga seperti dagangan sebelum ini.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.