Dagangan emas kembali kecundang semula pada Khamis semalam setelah prestasi sebelumnya cemerlang memaparkan peningkatan harga yang positif sejak awal minggu.
Situasi berubah apabila US dolar dilihat semakin mendapat sokongan untuk menuju mesyuarat FOMC yang terakhir 2024 pada minggu hadapan.
Data inflasi pengeluar Amerika Syarikat (AS) diterbitkan pada sesi New York semalam catatkan angka meningkat mengatasi ramalan, selari dengan bacaan inflasi pengguna yang diterbitkan pada Rabu lalu.
Pengukuhan US dolar telah memberi tekanan semula terhadap emas yang kembali mengurangkan separuh keuntungan yang dicapai dari awal minggu.
Jika diperhatikan pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, harga telah berjaya meningkat melepasi paras 2700.00 dan menguji kembali paras ketinggian 2720.00 seperti yang dicapai pada dagangan 25 November lalu.
Pada sesi Asia Khamis semalam, harga sempat meningkat sedikit ke paras 2726.00 sebelum corak penurunan harga bermula.
Sehingga menyambung dagangan ke sesi New York, harga telah menjunam mencecah 2675.00 sebelum pergerakan harga mendatar di sekitar zon tersebut pada sesi Asia pagi ini.
Harga yang kini bergerak di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta itu memberi isyarat bearish buat harga.
Paras 2670.00 dilihat sebagai sokongan yang bakal diuji harga dan jika gagal harga dilantunkan naik semula, akan menjadi amaran untuk kejatuhan lebih parah emas.
Penurunan yang dilanjutkan boleh dijangkakan untuk mencecah sehingga ke sekitar 2600.00 untuk harga memberi reaksi petunjuk penting kepada pelabur.
Namun sekiranya berjaya harga melonjak kembali pada dagangan di sesi-sesi terakhir minggu ini, paras 2720.00 penting untuk dicapai semula sebelum isyarat bullish dikenal pasti.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.