Selepas meneliti laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, pelabur emas kini berhati-hati menantikan data-data penting pada minggu ini pula yang boleh mempengaruhi nilai logam kuning itu.
Antara data-data penting yang menjadi tumpuan adalah minit mesyuarat FOMC yang bakal dikeluarkan oleh Federal Reserve (Fed), tuntutan pengangguran AS dan indeks harga pengguna (CPI) dan pengeluar (PPI) AS.
Selain data ekonomi, pelabur juga kekal berwaspada menantikan perkembangan perang di Timur Tengah yang semakin tegang pada minggu lalu, di mana jika situasi yang kian meruncing boleh meningkatkan permintaan emas sebagai aset selamat.
Pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, harga dilihat masih tidak mampu melepasi paras 2670.00, walaupun terdapat percubaan untuk melepasi rintangan tersebut ketika reaksi bercampur laporan NFP diterbitkan.
Jika diperhatikan, harga susut dahulu ke paras sekitar 2632.00 sebelum melantun naik dan sebaik sahaja menyentuh rintangan 2670.00, harga berundur turun semula.
Harga yang dibuka sekitar paras 2650.00 pada permulaan sesi Asia pagi ini (Isnin) menunjukkan penurunan perlahan ke sekitar 2640.00 sebelum melantun di awal sesi Eropah untuk menguji garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta XAU/USD itu.
Jika permintaan terhadap emas melonjak pada minggu ini, harga mampu melonjak dan berpotensi memecahkan rekod tertinggi terbarunya lagi.
Namun untuk mencapai paras tersebut harga perlu melepasi dahulu paras 2670.00 yang merupakan rintangan yang tidak berjaya ditembusi pada minggu lepas.
Pelabur turut kekal bersedia untuk menyaksikan penurunan harga emas lebih rendah minggu ini berikutan kecenderungan pada US dolar mengekalkan momentum pengukuhan di penutup minggu lalu.
Jika berlaku penurunan, harga emas bakal mensasarkan semula zon tumpuan terhampir pada sekitar 2600.00.
Untuk penurunan lebih lanjut, zon 2530.00-2500.00 dan 2480.00-2470.00 bakal menjadi rujukan memandangkan zon tersebut merupakan zon RBS penting pada dagangan minggu-minggu yang lalu.
Adalah tidak mustahil untuk harga emas membuat penurunan sekiranya data-data pada hujung minggu ini seperti CPI AS, PPI AS dan minit mesyuarat FOMC terus menyokong pengukuhan lanjut US dolar.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.