Dagangan memasuki minggu yang baru, namun pasaran dilihat masih lagi sedang menghadam situasi semasa menyusuli data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada minggu lepas.
Jika diteliti pada angka yang diterbitkan untuk laporan pekerjaan NFP dan inflasi terbaru AS, kedua-duanya hadir dengan bacaan angka yang positif dan meningkat.
Jangkaan awal yang boleh disimpulkan buat masa ini adalah Federal Reserve (Fed) berkemungkinan akan mengekalkan dahulu dasar monetari sedia ada berbanding ramalan sebelum ini iaitu untuk mula menurunkan kadar faedah.
Jadi ini akan menjadi panduan untuk dagangan para pelabur menuju ke mesyuarat FOMC pertama 2024 ini di awal Februari nanti.
US dolar pada dagangan penutup minggu lalu dilihat gagal untuk meneruskan pengukuhan dengan mempamerkan pergerakan yang bercampur walaupun data inflasi pengguna yang diterbitkan pada Khamis catat angka meningkat lebih tinggi dari jangkaan.
Ini berkemungkinan didorong oleh data inflasi pengeluar AS (PPI) yang diterbitkan pada sesi terakhir minggu itu catat bacaan angka yang tidak selari dengan inflasi pengguna.
Berlaku penguncupan pada bulan Disember dan meleset berbanding ramalan angka yang meningkat.
Situasi ini dilihat sedikit mengganggu arah pergerakan semasa buat US dolar dan pelabur perlu menantikan lagi petunjuk-petunjuk terbaru selepas ini.
Beberapa data ekonomi akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini yang turut akan memberi petunjuk terhadap hala tuju dasar monetari bank-bank pusat utama.