Emas lakukan peningkatan positif pada penghujung dagangan Asia hari Selasa dengan menokok kira-kira 0.30% di saat para pelabur menantikan laporan inflasi Ogos serta debat presiden antara Donald Trump dan Kamala Harris menjelang pilihan raya November.
Pada jam 9.20 pagi, harga emas berada pada nilai $2,517.36 iaitu naik sedikit 0.3% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu.
Kedudukan harga logam kuning bertambah baik susulan mata wang dolar AS yang mengurangkan keuntungan awalnya.
Walau bagaimanapun, hasil bon Perbendaharaan AS mencatat kejatuhan sebelum bacaan Indeks Harga Pengguna (CPI) terkini diumumkan pada malam ini (Rabu).
Konsensus pasaran melihat data inflasi akan melalui alur penurunan ke arah 2% bagi mengekalkan nada ‘dovish’ Federal Reserve (Fed) ke arah memulakan kitaran pemotongan kadar di tengah-tengah kebimbangan bahawa pasaran buruh melemah.
Selain itu, laporan pekerjaan AS terkini mendedahkan pertambahan sedikit tenaga kerja daripada jangkaan dan data pengangguran mencatatkan kejatuhan. Angka buruh memberikan kelegaan untuk Fed tidak tergesa-gesa dalam pelaksanaan dasar monetari seterusnya.
Pasaran meluas menjangkakan kemungkinan untuk pemotongan sebanyak 50 mata telah meningkat kepada 33% dan untuk 25 mata asas pula berada 67%.
Tinjauan Reuters mendedahkan bahawa 92 daripada 101 ahli ekonomi menjangkakan Fed menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat September nanti.
Sementara itu, perkembangan politik mula tertumpu pada debat presiden pertama antara Donald Trump dan Kamala Harris yang berlangsung pada pagi Rabu, 11 September 2024.