Emas susut sedikit semasa pembukaan dagangan awal minggu selepas mendatar sekitar $2,650 pada penutup minggu lalu berikutan pemulihan dolar Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan ke atas pasaran logam kuning.
Walau bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang berterusan mampu memberikan kekuatan untuk emas bertahan.
Pada jam 9.10 pagi, harga emas berada pada paras $2,632.42 iaitu turun 0.64% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Sepanjang November, emas merosot 3% iaitu kejatuhan tertinggi sejak September 2023.
Kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden AS mendorong jangkaan Federal Reserve (Fed) untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menetapkan kadar faedah apabila USD menunjukkan rentak kenaikannya yang tinggi.
Selain itu, ketegangan geopolitik yang semakin memuncak boleh meningkatkan harga emas.
Menurut Reuters, jet tentera milik Rusia dan Syria sedang mara menyerang kumpulan pemberontak Syria yang ingin merampas bandar kedua terbesarnya.
Menurut Ole Hansen, Ketua Strategi Komoditi Saxo Bank berkata ketidaktentuan global yang berterusan akan terus mendorong permintaan emas sebagai aset selamat.
Buat masa ini, peserta pasaran kini bersedia dengan terbitan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan ISM AS pada Isnin sebagai dorongan baharu.
PMI Pembuatan diunjurkan meningkat kepada 47.5 untuk November daripada 46.5 sebelumnya.
Hari Jumaat, perhatian pelabur akan beralih kepada Non-Farm Payroll (NFP) AS untuk bulan November.