Dagangan emas menunjukkan pemulihan dengan pantas pada awal sesi New York semalam. Logam emas itu dilihat sukar untuk dijatuhkan buat masa kini kerana para pelabur mempunyai keyakinan tinggi berkenaan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve pada Mac nanti.
Harga emas kini berada pada paras $2,053.22 iaitu turun sebanyak 0.08% berbanding di buka pada awal sesi dagangan Asia pagi tadi.
Pada mesyuarat sebelum ini, Jerome Powell menunjukkan tidak berminat dengan spekulasi penurunan kadar faedah nanti dengan alasan bahawa pembuat dasar tidak yakin inflasi asas akan kembali mampan pada sasaran 2%.
Pendiriannya itu telah menimbulkan keraguan yang tinggi buat para pelabur dan mendorong mereka untuk beralih kepada mesyuarat dasar Mei untuk pemotongan kadar pertama kitaran ini.
Sementara itu, prospek inflasi akan ditentukan oleh keadaan pasaran buruh, perbelanjaan pengguna dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga akan menetapkan asas baharu untuk jangkaan pengurangan kadar faedah nanti.
Kini, peserta pasaran sedang menunggu data pekerjaan NFP untuk diterbitkan malam ini. Jangkaan pemotongan kadar faedah pada mesyuarat dasar monetari Fed Mei mungkin berkurangan jika data pertumbuhan pekerjaan dan gaji menjadi lebih tinggi daripada jangkaan.