Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) menunjukkan situasi yang positif selepas tumpuan terarah kepada keputusan mesyuarat FOMC yang mengumumkan kadar faedah terbaru.
Federal Reserve (FED) mengekalkan kadar dananya tidak berubah di paras 5.50%, tetapi pengerusi FED Jerome Powell menyatakan persediaan bank pusat untuk mengurangkan kadar faedahnya pada September.
S&P 500 ditutup 1.6% lebih tinggi, manakala Nasdaq 100 meningkat sebanyak 2.6% dan Dow memperoleh 100 mata pada Rabu apabila rali dalam saham cip menyokong sektor teknologi.
Sektor teknologi adalah berprestasi terbaik apabila Nvidia melonjak sebanyak 12.8% selepas Morgan Stanley menamakannya sebagai pilihan utama, memadamkan sebahagian daripada kerugian baru-baru ini disebabkan oleh peralihan fokus pasaran saham ke arah sektor tradisional ekonomi.
Saham AMD juga melonjak sebanyak 4.4% selepas keputusan syarikat mengatasi anggaran.
Broadcom (12%) dan Qualcomm (8.4%) juga lebih tinggi selepas laporan bahawa beberapa syarikat asing tidak akan terjejas oleh sekatan eksport AS ke atas pembuatan cip ke China.
Microsoft sebaliknya, kehilangan 1.1% di tengah-tengah keputusan awan (cloud) yang mengecewakan.
Dalam ucapan susulan selepas kadar faedah diumumkan pada mesyuarat awal pagi tadi, Powell memberi isyarat untuk bersedia menurunkan kadar faedah pada September tetapi keputusan mesyuarat akan bergantung kepada data terbaru yang hadir selepas ini.