Pentadbiran Jepun memutuskan untuk menurunkan pandangan terhadap ekonomi pada bulan Februari untuk kali pertama dalam tiga bulan berikutan perbelanjaan pengguna yang perlahan.
Kerajaan juga menurunkan penilaian terhadap belanja pengguna untuk kali pertama dalam dua tahun, menyatakan peningkatan kelihatan “terhenti”, menekankan cabaran bagi Bank of Japan dalam mencari jalan untuk keluar dari dasar monetarinya yang sangat mudah pada tahun ini.
Penilaian yang pesimis itu dikeluarkan selepas data minggu lalu menunjukkan ekonomi Jepun secara tidak dijangka terperangkap ke dalam kemelesetan pada suku keempat atas permintaan domestik yang lemah. Ini secara tidak langsung boleh mengakibatkan kehilangan kedudukannya sebagai ekonomi terbesar ketiga di dunia.
Penilaian yang lebih rendah terhadap perbelanjaan pengguna disebabkan oleh pemulihan yang terbantut dalam perbelnjaan perkhidmatan dan penurunan dalam belanja barang tahan lama disebabkan oleh faktor seperti kenaikan harga.
Gaji sebenar negara itu juga merosot selama 21 bulan berturut-turut pada bulan Disember ketika inflasi melebihi pemulihan gaji dan terus membebankan isi rumah.
Penghentian pengeluaran di unit kereta kecil Toyota Motor Daihatsu atas isu keselamatan telah merosotkan pengeluaran automotif. Toyota juga menangguhkan penghantaran beberapa model selepas mendapati kepincangan dalam ujian pensijilan untuk enjin diesel yang dibangunkan oleh anak syarikat Toyota Industries.