US dolar pamerkan pengukuhan pada dagangan Khamis semalam disokong kenyataan bernada hawkish oleh pegawai Federal Reserve (Fed) Christopher Waller yang mencadangkan bahawa bank pusat perlu mengekalkan kadar faedah pada tahap semasa untuk tempoh yang lebih panjang.
Kenyataan tersebut dilihat seiring dengan terbitan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) di sesi New York semalam yang menyaksikan bacaan akhir untuk pertumbuhan suku keempat 2023 lalu meningkat kepada 3.4% berbanding jangkaan untuk kekal di paras terdahulu 3.2%.
Begitu juga data jualan rumah dan tinjauan keyakinan pengguna yang masing-masing catatkan peningkatan angka mengatasi ramalan untuk bacaan terbaru.
US dolar walau bagaimanapun mengukuh pada sesi Eropah semalam namun tidak berjaya mengekalkan momentum positif itu di sesi New York ketika data-data yang diterbitkan positif.
Ketika ini, jangkaan pasaran terhadap dasar monetari Fed berkemungkinan akan kembali cenderung untuk pengetatan dasar dikekalkan berdasarkan data yang hadir dan kenyataan Waller.
Petunjuk terbaru akan diperhatikan pada hari ini (Jumaat) menerusi data komponen inflasi iaitu indeks harga PCE AS yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna.
Di sesi New York juga, pelabur akan menilai ucapan yang bakal disampaikan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell yang menghadiri acara persidangan di San Francisco.
Daripada situ, pelabur berkemungkinan akan mendapat petunjuk terbaru bagi menentukan arah pergerakan lanjut mata wang US dolar sebelum dagangan minggu ini melabuhkan tirai.
Pasaran komoditi termasuk minyak mentah dan emas ditutup pada Jumaat sempena Easter Holiday dan dagangan bakal bersambung pada minggu hadapan.