Seramai 22 juta pemegang MyKad layak menerima Bantuan Sara (Sumbangan Asas Rahmah) sebanyak RM100, yang boleh disemak mulai hari ini menerusi portal rasmi SARA.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam sebuah kenyataan memaklumkan, bantuan itu akan diberikan secara automatik kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas atau yang lahir pada 2007 dan sebelumnya, tanpa memerlukan sebarang pendaftaran atau permohonan baharu.
Pembayaran akan dikreditkan terus ke MyKad penerima mulai 31 Ogos ini, bersempena sambutan Hari Kebangsaan, dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 kedai runcit berdaftar seluruh negara.
Antara barangan yang boleh dibeli termasuk beras, telur, barangan kebersihan, ubat-ubatan, keperluan sekolah serta produk penjagaan diri.
MOF turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan, kerana tiada pihak ketiga dilantik untuk menguruskan pengagihan dana ini. Katanya, baki bantuan yang tidak digunakan sehingga hujung tahun akan disalurkan semula kepada golongan rentan melalui program kerajaan seterusnya.
Dengan pelaksanaan inisiatif ini, jumlah keseluruhan peruntukan bagi STR dan Sara tahun 2025 meningkat kepada RM15 bilion, iaitu kenaikan hampir 50% berbanding RM10 bilion pada 2024.