Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Coupang, syarikat runcit dalam talian terkemuka Korea Selatan mengumumkan pelan pampasan bernilai 1.69 trilion won ($1.17 bilion) kepada lebih 34 juta pengguna yang terjejas akibat pelanggaran data besar-besaran yang didedahkan bulan lalu.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, Coupang memaklumkan bahawa mereka akan memberikan baucar pembelian bernilai 50,000 won kepada pelanggan terjejas.
Baucar tersebut boleh digunakan untuk pelbagai perkhidmatan dalam platform berkenaan.
Langkah itu bertujuan untuk memulihkan kepercayaan pengguna serta mengurangkan impak negatif daripada insiden keselamatan siber tersebut.
Sementara itu, pelanggan yang telah menutup akaun Coupang susulan isu pencerobohan data turut layak menerima baucar tersebut.
Syarikat itu juga menjelaskan bahawa pengguna boleh menyemak status kelayakan mereka bermula 15 Januari tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Coupang Corp, Harold Rogers menyifatkan langkah itu sebagai satu tanggunjawab syarikat dalam memenuhi tuntutan pelanggan.
Insiden pelanggaran data yang berlaku pada 18 November lalu telah menyebabkan CEO terdahulu, Park Dae Jun meletak jawatan pada awal bulan ini.
Pengasas Coupang, Kim Bom dalam satu kenyataan mengakui bahawa syarikat itu gagal berkomunikasi dengan jelas sejak awal kejadian berlaku.


























































