Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
ISNIN (8 September 2025)
Data KDNK Jepun (7.50 Pagi) – Pasaran meneliti bacaan angka pertumbuhan ekonomi Jepun pada suku kedua 2025. Bank pusat turut akan menjadikan data ini sebagai panduan dalam penetapan dasar monetari yang selanjutnya.
RABU (10 September 2025)
Data Inflasi Pengeluar AS (8.30 Malam) – Indeks harga pengeluar (PPI) AS untuk bulan Ogos diramalkan lebih perlahan kepada 0.3% berbanding kenaikan yang dicatatkan bulan sebelumnya pada 0.9%. Perubahan harga di peringkat pengeluar akan mempengaruhi pengguna.
KHAMIS (11 September 2025)
Mesyuarat Polisi ECB (8.15 Malam) – European Central Bank dijangka mengekalkan kadar faedah pada 2.15% setelah penurunan yang dilakukan pada mesyuarat Jun lalu. Kenyataan susulan oleh Presiden bank pusat yang memberi bayangan hala tuju dasar monetari turut akan pengaruhi prestasi mata wang Euro.
Data Inflasi Pengguna AS (8.30 Malam) – Kadar inflasi pengguna AS dijangka meningkat lagi ke paras 2.9% dari paras 2.7% sebelum ini. Angka terbaru akan menjadi petunjuk penting menjelang mesyuarat FOMC minggu hadapan.
JUMAAT (12 September 2025)
Data KDNK UK (2.00 Petang) – Pasaran meramalkan pertumbuhan sifar bakal dicatatkan ekonomi UK untuk Julai, menurun daripada peningkatan 0.4% bulan sebelumnya. Angka yang lebih rendah boleh cetuskan kebimbangan dan memberi tekanan terhadap pergerakan Pound.
Data Tinjauan Sentimen Pengguna AS (10.00 Malam) – Tinjauan isi rumah di Amerika akan memberikan gambaran tahap kewangan semasa selain petunjuk corak perbelanjaan pengguna dan keseluruhan aktiviti ekonomi. Angka terbaru diramal tidak jauh berbeza dari bacaan sebelum ini sekitar 58.0 mata.