Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
SELASA (19 Ogos 2025)
Data Inflasi Kanada (8.30 Malam) – Selepas mencatatkan penurunan pada bacaan bulan terdahulu, kadar inflasi bulanan Kanada untuk Julai dijangka kembali meningkat semula.
RABU (20 Ogos 2025)
Mesyuarat Polisi RBNZ (10.00 Pagi) – Bank pusat New Zealand (RBNZ) dijangka akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat terbaru dari 3.25% kepada 3.00%.
Data Inflasi UK (2.00 Petang) – Kadar inflasi di UK dijangka akan terus meningkat selepas lonjakan yang bermula pada bacaan April lalu ketika terkesan dengan pelaksanaan tarif Donald Trump. Ramalan inflasi pada Julai meningkat kepada 3.7% daripada 3.6%.
KHAMIS (21 Ogos 2025)
Minit Mesyuarat FOMC (2.00 Pagi) – Susulan kadar faedah dikekalkan oleh Federal Reserve, pasaran bakal meneliti butiran lanjut dalam minit mesyuarat yang akan diterbitkan minggu ini. Laporan minit dijangka akan turut mempengaruhi mata wang US dolar.
PMI Pembuatan & Perkhidmatan Jerman (3.30 Petang) – Pertumbuhan kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan di Jerman untuk bulan Ogos diunjur lebih perlahan menyusuli bacaan suram pada bulan sebelumnya.
PMI Pembuatan & Perkhidmatan UK (4.30 Petang) – Bacan data PMI bagi UK pula dijangka tidak menunjukkan perbezaan yang ketara daripada angka bulan Julai. Sektor pembuatan dijangka lebih perlahan manakala sektor perkhidmatan masih kekal di atas paras 50 mata.
PMI Pembuatan & Perkhidmatan AS (9.45 Malam) – Sektor perkhidmatan di Amerika dijangka masih kekal kukuh sementara sektor pembuatan menjangkakan perkembangan yang baik bagi bulan Ogos.
JUMAAT (22 Ogos 2025)
Data Jualan Runcit UK (2.00 Petang) – Walaupun kadar inflasi pengguna di UK diramal meningkat, namun kadar jualan runcit dijangka catat bacaan perlahan untuk Julai.
Data Jualan Runcit Kanada (8.30 Malam) – Kanada dijangka mencatatkan kadar jualan yang positif semula bagi Jun selepas angka negatif yang diterbitkan pada laporan bagi bulan Mei.