Bila gaji habis untuk bayar hutang, apa lagi yang tinggal untuk hidup?
Hutang jawapannya!
Dengan harga barang yang semakin melambung, rakyat Malaysia semakin tidak mampu untuk kekal cukup dengan apa yang ada sehingga meningkatkan kadar hutang di Malaysia menjadi semakin tinggi.
Namun, lebih 112,000 individu kini berjaya keluar daripada krisis kewangan melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Program ini diperkenalkan bagi menangani kadar hutang isi rumah yang semakin membimbangkan.
Menurut Laporan Khas AKPK 2023–2024, sebanyak 60,155 kes telah diluluskan pada tahun 2024, meningkat daripada 52,057 kes pada tahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 112,000 kes dalam tempoh dua tahun.
Lebih membanggakan, AKPK telah merekodkan RM3.2 bilion secara keseluruhan bayaran balik hutang sejak 2023.
Sebahagian besar peserta program bermula dengan Nisbah Khidmat Hutang (DSR) setinggi 84% bermakna hampir keseluruhan gaji mereka digunakan untuk membayar hutang.
Namun, selepas menyertai program DMP, peserta berjaya menurunkan DSR kepada 40%, sekali gus memberi ruang untuk mereka menampung keperluan asas seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.
Program ini bukan sekadar menyusun semula hutang – ia menyusun semula harapan, maruah, dan peluang untuk hidup dengan tenang semula.