Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam telah memeterai perjanjian berkaitan mineral nadir bumi bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Selain itu, Trump turut mengesahkan bahawa sekutu utama Washington itu akan menerima kapal selam berkuasa nuklear.
Kedua-dua pemimpin bertemu di White House dengan tumpuan kepada dua bidang utama iaitu pertahanan dan mineral kritikal sebagai usaha Washington dan Canberra untuk memperkukuh kerjasama dalam mengekang pengaruh China yang dilihat semakin agresif.
Albanese menyatakan bahawa perjanjian nadir bumi itu bakal menarik pelaburan bernilai $8.5 bilion (RM35.88 bilion) dalam projek mineral kritikal di Australia serta mengangkat hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Beliau juga menegaskan bahawa kekayaan sumber mineral kritikal Australia berpotensi membantu mengurangkan dominasi China dalam bekalan global nadir bumi yang penting bagi penghasilan produk teknologi.
Australia turut menyatakan hasrat untuk membentuk simpanan strategik mineral kritikal bagi membekalkan kepada rakan utama seperti Washington, sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap penguasaan Beijing.
Negara itu memiliki simpanan litium, kobalt, mangan serta logam nadir bumi yang digunakan dalam pelbagai teknologi termasuk semikonduktor, peralatan pertahanan, kenderaan elektrik dan turbin angin.
Kerajaan Australia juga akan menyokong rancangan pengeluar aluminium AS, Alcoa, untuk membina loji galium di kilang penapisan aluminiumnya di Australia Barat, yang berpotensi menyumbang sehingga 10% daripada bekalan galium global.
Kedua-dua negara akan melabur lebih daripada $1 bilion (RM4.22 bilion) masing-masing dalam tempoh enam bulan akan datang, manakala White House menganggarkan jumlah keseluruhan pelaburan bakal mencecah $3 bilion (RM12.66 bilion).