Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi serangan terhadap sebuah kapal yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah di perairan Caribbean.
Menurut seorang pegawai AS, beberapa anak kapal dilaporkan terselamat dalam insiden berkenaan.
Sebelum operasi itu, serangan tentera AS ke atas kapal yang disyaki membawa dadah di perairan Venezuela telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang.
Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar undang-undang dan ahli Kongres daripada parti Demokratik sama ada tindakan itu mematuhi undang-undang peperangan.
Kerajaan Venezuela menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan bahawa serangan AS ke atas kapal itu sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang.
Selain itu, Majlis Keselamatan turut diminta mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan sokongan terhadap kedaulatan Venezuela, menurut sepucuk surat yang diperoleh Reuters hari ini.
Dalam surat bertarikh Rabu kepada 15 anggota Majlis Keselamatan, Duta Venezuela ke PBB, Samuel Moncada menuduh Washington membunuh sekurang-kurangnya 27 orang dalam serangan ke atas kapal awam yang sedang berlayar di perairan antarabangsa.
Beliau menggesa majlis itu menyiasat serangan tersebut dan mengeluarkan kenyataan yang menegaskan semula prinsip penghormatan terhadap kedaulatan, kemerdekaan politik serta keutuhan wilayah semua negara, termasuk Venezuela.
Namun begitu, Majlis Keselamatan dijangka tidak dapat mengambil tindakan lanjut selain mengadakan mesyuarat mengenai isu itu kerana AS mempunyai kuasa veto.
Majlis itu mengadakan mesyuarat pertamanya minggu lalu atas permintaan Venezuela, Rusia dan China untuk membincangkan ketegangan yang semakin memuncak.
Dalam mesyuarat berkenaan, AS mempertahankan tindakannya selaras dengan Artikel 51 Piagam PBB, yang membenarkan negara anggota memaklumkan Majlis Keselamatan mengenai tindakan mempertahankan diri daripada serangan bersenjata.