Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memaklumkan bahawa pihaknya akan mengenakan tarif ke atas import semikonduktor China susulan tindakan negara itu sedang meningkatkan usaha untuk menguasai industri cip sepenuhnya.
Bagaimanapun, tarif tersebut akan ditangguhkan sehingga Jun 2027 dengan kadar tarif akan diumumkan sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal.
Dalam satu kenyataan, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer menyatakan bahawa tindakan China untuk menguasai sektor semikonduktor adalah tidak munasabah dan berisiko menjejaskan perdagangan AS.
Kedutaan Besar China di Washington membantah pelaksanaan tarif terbabit kerana tindakan itu sebagai usaha memperalatkan isu perdagangan dan teknologi.
Mereka turut menegaskan bahawa langkah itu akan menjejaskan kestabilan rantaian bekalan global, serta tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
Sementara itu, langkah penangguhan terbabit dilaksanakan bagi mengurangkan konflik antara AS-China.
Ia merupakan tindak balas terhadap sekatan eksport logam nadir bumi oleh Beijing sebagai komponen utama dalam industri teknologi dunia yang dikawal ketat oleh mereka.
Sebagai sebahagian daripada rundingan dengan China untuk menangguhkan sekatan tersebut, Washington menolak peraturan yang bertujuan menyekat eksport teknologi AS kepada unit syarikat China yang telah disenaraihitamkan.
Menurut laporan berita Reuters, AS juga sedang menyemak kelulusan penghantaran cip AI ke China, meskipun wujud kebimbangan bahawa teknologi tersebut mampu memperkukuh ketenteraan Beijing.

























































