Berikutan pelaksanaan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, CIMB Securities percaya bahawa bank-bank akan mempertimbangkan pelepasan pinjaman kepada pengeksport dan pembekal seperti situasi tempoh pandemik dahulu.
Kadar pinjaman yang diberikan akan memberikan faedah kepada pihak yang terjejas oleh tarif dagangan Trump.
Ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan hampir semua sektor pekerjaan, pinjaman telah diagihkan untuk meringankan beban kepada rakyat.
Antara kebaikan pinjaman bank kepada pengguna ketika pandemik adalah berperanan membantu perniagaan yang terjejas, membantu peminjam mendapatkan dana kewangan dan mengurangkan impak terhadap ekonomi.
Sekiranya bank-bank mengulangi tindakan itu, pinjaman yang ditawarkan turut akan membantu menyediakan masa tambahan kepada ramai pihak ketika berhadapan situasi tarif.
CIMB Securities percaya bahawa program bantuan ini memainkan peranan penting dalam mencegah kenaikan lanjut pada pinjaman yang terjejas.
Laporan CIMB Securities menganggarkan pinjaman berkaitan eksport telah menyumbang 2.8% daripada keseluruhan jumlah pinjaman di Malaysia.
Secara keseluruhan, harga saham bank dijangka terus bergerak dalam julat untuk beberapa bulan akan datang sementera menunggu kejelasan isu tarif. Sektor ini masih dianggap berada pada tahap sederhana.