Kementerian Kewangan mendedahkan jumlah barangan dikecualikan atau berkadar sifar di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah lebih tinggi berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018.
Menurut kementerian itu, terdapat 1,826 barangan yang dikecualikan cukai di bawah SST, berbanding hanya 607 barangan ketika GST dilaksanakan dahulu.
Pengecualian ini merangkumi keperluan asas seperti bahan makanan, ubat-ubatan, bahan bacaan, selain makanan ternakan, baja, racun perosak serta mesin berkaitan pertanian dan penternakan.
Kementerian Kewangan menjelaskan, SST juga hanya meliputi 70% daripada keseluruhan perkhidmatan dalam ekonomi, iaitu lebih rendah berbanding GST yang mengenakan cukai ke atas 76% perkhidmatan.
Dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa semalam, kementerian menegaskan bahawa kerajaan kekal berhati-hati dalam memperluaskan skop SST dan langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kesannya terhadap kos sara hidup rakyat.
Menurutnya lagi, bilangan barangan yang lebih banyak dikecualikan serta liputan cukai perkhidmatan yang lebih rendah mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat, selain memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh, sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani.