Sebuah beg tangan Hermes yang pernah dimiliki pelakon dan penyanyi British-Perancis, Jane Birkin, bakal dilelong di Abu Dhabi pada 5 Disember ini.
Sotheby’s menyatakan bahawa beg yang dikenali sebagai Birkin Voyageur itu mempunyai anggaran nilai antara $230,000 (RM972,900) hingga $430,000 (RM1.82 juta).
Beg tersebut dihadiahkan kepada Birkin oleh Helmes pada 2003 dan merupakan satu daripada empat beg yang dimilikinya selepas melelong beg asalnya untuk mengutip dana bagi badan amal AIDS pada 1994.
Sotheby’s menjelaskan bahawa menjual beg Birkin untuk tujuan amal merupakan tradisi Jane Birkin, dan setiap kali beliau berbuat demikian, Hermes akan menggantikan beg tersebut.
Beg Birkin pertama yang dihasilkan secara khusus untuk jualan dilelong pada harga hampir €8.6 juta (RM44.72 juta) di Paris pada Julai lalu, sekaligus menjadikannya beg paling mahal pernah dilelong.
Birkin Voyageur disifatkan sangat istimewa kerana ia memaparkan nota tulisan tangan dalam bahasa Perancis oleh pelakon berkenaan pada bahagian dalam beg tersebut.
Lelongan itu turut dilihat sebagai peluang kepada pengumpul untuk memiliki item peribadi yang bukan sahaja eksklusif, tetapi sarat dengan nilai sentimental dan sejarah dunia fesyen.

























































