Adakah kerajaan Malaysia semakin kekurangan dana untuk menampung perbelanjaan negara?
Persoalan yang ketika dahulu hangat diperkatakan kini kembali tular meniti di bibir rakyat selepas dua isu besar melibatkan rakyat mencuri perhatian mengundang reaksi yang pelbagai.
Menerusi portal Malaysia Gazette pada 7 Ogos yang lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengeluarkan sebuah kenyataan mendakwa langkah mengehadkan pengeluaran KWSP seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menggambarkan kerajaan semakin bergantung kepada “poket rakyat” untuk menampung perbelanjaan negara.
Beliau memberi amaran bahawa hutang negara dijangka bakal mencecah RM2 trilion sekiranya kerajaan meneruskan perbelanjaan tinggi berasaskan peruntukan RM430 bilion untuk RMK13, sedangkan hasil negara banyak dihabiskan untuk perbelanjaan mengurus.
Ketika berucap pada sesi perbahasan di Parlimen, Muhyiddin menjelaskan bahawa hutang negara telah mencecah RM1.5 trilion dengan liabiliti luar jangka melebihi RM384 bilion, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan kerajaan melunaskan hutang tersebut termasuk risiko aset negara dicagar atau dijual kepada pihak luar.
Isu kedudukan fiskal ini semakin hangat apabila timbul pula polemik berkaitan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan cemerlang.
Sebelum ini, umum mengetahui keistimewaan graduan ijazah sarjana muda kelas pertama yang layak memohon pengecualian penuh bagi pinjaman PTPTN menjadikan ramai graduan bekerja keras bagi meraih kelebihan ini.
Namun sejak hujung tahun lalu, portal rasmi permohonan ditutup atas alasan ‘penyelenggaraan’, menyebabkan graduan cemerlang tetap diarahkan melunaskan pinjaman penuh tanpa sebarang ruang untuk mengemukakan permohonan. Keadaan ini sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa keistimewaan tersebut mungkin sudah berakhir.
Pendedahan platform TikTok Fajar Baru MY turut menguatkan kebimbangan itu apabila mendedahkan dasar pengecualian sebenarnya bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan dan PTPTN, menimbulkan persoalan sama ada janji berkenaan telah ditangguhkan atau dibatalkan..
Walaupun tiada penjelasan rasmi setakat ini, penganalisis kewangan berpendapat kedua-dua isu seperti pencen KWSP secara bulanan dan ketidakpastian pengecualian PTPTN telah memberi isyarat jelas bahawa kerajaan sedang berdepan cabaran fiskal yang semakin mencengkam.