US dolar telah memaparkan corak dagangan yang sedikit positif pada pembukaan awal minggu semalam, menyusuli lantunan prestasi pada penutup minggu lepas.
Pengukuhan nilai yang kembali dipaparkan US dolar pada sesi-sesi akhir minggu lalu diteruskan pada dagangan Isnin.
Namun, penganalisis memberi amaran supaya para pelabur kekal berwaspada memerhatikan isu-isu tumpuan, yang terus memberi risiko dalam pasaran.
Perkembangan perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China, Presiden Donald Trump memberi jaminan bakal mencapai perjanjian kukuh antara dua negara itu.
Dalam masa yang sama, Trump turut menyelitkan ugutan sekiranya perjanjian gagal dicapai bersama China pada 1 November, negara itu akan membayar tarif 155%.
Selain itu, pelabur akan meneliti petunjuk terbaru pasaran pada minggu ini menerusi data-data penting yang bakal diterbitkan, khususnya data inflasi AS.
Bacaan terbaru akan diterbitkan pada Jumaat, dengan jangkaan kadar inflasi tahunan AS bakal meningkat lebih tinggi daripada 2.9% kepada 3.1%.
Antara perkembangan lain yang mencuri tumpuan dalam pasaran adalah situasi politik di Jepun yang kini menjangkakan Perdana Menteri wanita yang pertama mereka, selepas kemenangan Sanae Takaichi dalam pemilihan pimpinan Parti Demokratik Liberal baru-baru ini.
Setelah data-data ekonomi China diperhatikan pada semalam, untuk hari ini (Selasa) pula, data inflasi Kanada akan diberikan tumpuan di sesi New York.
Data-data PMI pembuatan dan perkhidmatan akan dinantikan penerbitannya pada penghujung minggu untuk pelabur menilai kesihatan semasa ekonomi-ekonomi utama.