Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa bahawa Presiden China, Xi Jinping, telah memberi jaminan kepadanya bahawa Beijing tidak akan cuba menyatukan Taiwan dengan tanah besar China sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai presiden.
Dalam temu bual bersama program CBS 60 Minutes yang disiarkan pada Ahad, Trump menjelaskan bahawa isu Taiwan tidak menjadi topik utama ketika beliau bertemu dengan Xi di Korea Selatan baru-baru ini iaitu pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin itu dalam tempoh enam tahun.
Perbincangan mereka difahamkan banyak tertumpu kepada isu perdagangan antara AS dan China.
Menurut Trump, pihak kepimpinan China memahami risiko besar sekiranya cuba mengambil tindakan ketenteraan terhadap Taiwan ketika beliau masih mengetuai pentadbiran di Washington.
Bagaimanapun, beliau menolak untuk mengulas lanjut mengenai bentuk tindak balas yang mungkin diambil AS, sambil menegaskan bahawa maklumat tersebut bersifat rahsia keselamatan negara.
Pentadbiran AS di bawah kepimpinan kedua-dua parti Republikan dan Demokrat sebelum ini mengekalkan dasar ‘kekaburan strategik’ terhadap Taiwan, di mana Washington tidak pernah mengesahkan sama ada akan campur tangan secara langsung jika China melancarkan serangan ketenteraan ke atas pulau itu.
Pegawai keselamatan AS sejak sekian lama menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan Beijing menggunakan kekuatan tentera bagi menuntut semula Taiwan.
Kedutaan China turut menekankan bahawa persoalan Taiwan hanya boleh diputuskan oleh rakyat China sendiri dan tidak sepatutnya dicampuri oleh mana-mana kuasa asing.
Pihak White House pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung pertemuan Trump–Xi atau bila jaminan tersebut diberikan.
























































