China berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi negara rakan dagang terbesar Jerman untuk 8 bulan pertama tahun 2025.
Ini susulan faktor tarif yang tinggi yang membebankan sektor eksport Jerman ke AS, menjadikan China pilihan lebih baik.
Menurut data awal dari pejabat statistik Jerman, jumlah perdagangan dua hala antara Jerman dan China mencatat angka kira-kira €163.4 bilion dari Januari hingga Ogos 2025, melebihi jumlah perdagangan dengan AS yang berada pada €162.8 bilion dalam tempoh sama.
Penyusutan eksport Jerman ke AS sebanyak 7.4% dalam tempoh tersebut dipercayai disebabkan oleh tarif baru yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, yang menjejaskan eksport barangan seperti kereta, mesin dan bahan kimia.
Walaupun eksport Jerman ke China turut menyusut sekitar 13.5%, jumlah import dari China naik 8.3% mencapai kira-kira €108.8 bilion, yang menyumbang kepada peningkatan keseluruhan dalam jumlah dagangan dua hala.
Ekonomi Jerman kini menghadapi cabaran struktur apabila persaingan China semakin meningkat dalam segmen pembuatan dan teknologi sementara permintaan dari AS menyusut hasil polisi tarif.
Penganalisis memberi amaran bahawa bergantung secara besar kepada China boleh membawa risiko terutama ketika Jerman dan Eropah berikrar untuk “kurangkan pendedahan” kepada Beijing, namun realiti angka dagangan menunjukkan sebaliknya.