Rangkaian kedai seni dan kraf terkenal UK, Hobbycraft, mengesahkan enam lagi cawangan akan ditutup bermula bulan hadapan, susulan penutupan tiga cawangan pada awal Ogos.
Enam lokasi baharu yang terlibat ialah Wigan, Chichester, Stafford, Maidenhead, Crayford dan Kings Lynn, manakala tarikh penutupan rasmi belum diumumkan. Beberapa cawangan kini menjalankan jualan penghabisan stok dengan diskaun sehingga 20 peratus bagi mengosongkan barangan.
Langkah ini menyusul selepas sembilan cawangan lain ditutup pertengahan Julai, melibatkan sehingga 126 pekerja, ekoran pelan penstrukturan semula oleh pemilik baharu, Modella Capital. Ketua Pegawai Eksekutif Hobbycraft, Alex Wilson, menyifatkan keputusan itu sebagai “amat sukar” tetapi perlu bagi memastikan operasi di lokasi lain terus bertahan.
Fenomena penutupan ini mencerminkan tekanan besar yang sedang melanda sektor runcit UK, apabila jenama diskaun Poundland turut mengumumkan penutupan sehingga 49 cawangan pada bulan ini, dengan jumlah dijangka mencecah hampir 70 menjelang pertengahan Oktober.
Data Pusat Penyelidikan Runcit (Centre for Retail Research) mendedahkan lebih 13,000 premis di UK telah gulung tikar tahun lalu dengan peningkatan 28% berbanding tahun sebelumnya dan angka bagi 2025 dijangka menjadi yang tertinggi sejak rekod bermula pada 2015.
Penganalisis menjelaskan, faktor utama gelombang penutupan ini adalah gabungan tekanan kos operasi, perubahan tabiat pengguna, serta ketidaktentuan ekonomi global, termasuk ketegangan geopolitik dan dasar perdagangan antarabangsa yang menjejaskan rantaian bekalan serta harga import.
Situasi ini dijangka berterusan hingga hujung tahun, dengan amaran bahawa “yang terburuk mungkin belum tiba” bagi sektor runcit UK.