Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) akhirnya mengumumkan kenyataan bersama mengenai perjanjian perdagangan yang dimeterai hampir sebulan lalu, dengan menetapkan kadar tarif maksimum 15% ke atas barangan utama seperti kereta, semikonduktor dan farmaseutikal.
Walaupun tindakan tersebut dianggap sebagai baru ‘langkah pertama’, kenyataan itu mengecewakan beberapa negara anggota EU selepas wain, keluli dan aluminium tidak termasuk dalam senarai pengecualian, malah kekal dengan tarif sedia ada sehingga 50%.
Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maroš Šefčovič, menegaskan kadar baharu itu akan berkuat kuasa secara retrospektif bermula 1 Ogos, sekiranya cadangan undang-undang diluluskan bulan ini.
Selain itu, EU turut berjanji membeli produk tenaga AS bernilai $750 bilion sehingga 2028, AI chips bernilai $40 bilion, serta meningkatkan pelaburan strategik sebanyak $600 bilion.
Blok itu juga akan melonggarkan beberapa undang-undang yang selama ini dianggap sensitif termasuk mekanisme cukai karbon.
Namun, langkah itu dikritik segelintir bekas pegawai EU yang menyifatkannya sebagai “penyerahan sepenuhnya” kerana kadar tarif AS masih tinggi manakala EU hampir menghapuskan duti bagi barangan perindustrian.