Mata wang dolar AS kekal bertahan sejak minggu lepas apabila pelabur menilai kenyataan dovish daripada pegawai Fed yang meningkatkan jangkaan untuk pemotongan kadar Disember dan ia sepatutnya mengehadkan kenaikan mata wang tersebut.
Pada jam 9.50 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada posisi 100.149 mata iaitu turun 0.04% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Mata wang AS, bagaimanapun meningkat berbanding yen, kerana pelabur kekal memerhatikan kes campur tangan Tokyo untuk membendung kejatuhan dalam mata wang Jepun.
Jumlah dagangan berkurangan daripada biasa disebabkan oleh percutian di Jepun dan minggu yang singkat menjelang cuti Thanksgiving pada hari Khamis.
Dolar meneruskan penyusutan kecil selepas Gabenor Fed, Christopher Waller, berkata pada hari Isnin bahawa data semasa menunjukkan pasaran pekerjaan AS masih cukup lemah untuk menyokong satu lagi pemotongan kadar faedah sebanyak suku mata pada mesyuarat dasar bank pusat AS pada 9–10 Disember.
Kenyataan itu dibuat susulan pandangan Presiden Fed New York, John Williams, pada hari Jumaat yang menyatakan bahawa bank pusat AS masih berpeluang mengurangkan kadar faedah “dalam masa terdekat” tanpa menjejaskan sasaran inflasi.
Selepas komen tersebut, niaga hadapan dana Fed meningkatkan kebarangkalian pemotongan kadar faedah suku mata bulan depan kepada 80 peratus, berbanding 30 peratus sebelum ini, menurut alat FedWatch CME.
Namun begitu, beberapa gabenor Fed serantau berpandangan pelonggaran dasar wajar ditangguhkan sehingga terdapat bukti lebih kukuh bahawa inflasi benar-benar berada di landasan untuk turun ke sasaran 2% Fed, memandangkan parasnya masih kekal tinggi.
























































