Emas bergerak dalam rentak positif di penghujung minggu walaupun dolar AS masih kukuh berikutan pengeluaran data pekerjaan yang teguh dan ketidakpastian tentang tarif terkini yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Pada jam 9.30 pagi, harga emas berada pada paras $3,330 iaitu naik 0.19% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS menunjukkan bahawa bilangan rakyat AS yang memfailkan faedah pengangguran adalah di bawah anggaran dan laporan sebelumnya, memberikan isyarat bahawa ekonomi masih kukuh.
Hasilnya, selera pasaran masih kekal tinggi dan mampu mengehadkan arah lonjakan harga emas untuk naik lebih tinggi.
Jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengurangkan kadar faedah pada bulan Julai semakin nipis walaupun minit Fed terkini menunjukkan bahawa pegawai-pegawainya semakin yakin dengan pelonggaran dasar.
Walau bagaimanapun, kebanyakan ahli Fed kelihatan bimbang tentang tekanan inflasi dan takut lonjakan harga yang didorong oleh tarif.
Selain itu, Presiden Donald Trump menyampaikan pelancaran tarif paling tinggi buat masa ini kepada Brazil dengan mengenakan kadar sebanyak 50% sambil mengatakan bahawa ia adalah contoh kepada negara yang ‘anti-Amerika’.
Buat masa ini, peserta pasaran akan menilai ucapan pegawai-pegawai Fed dalam menentukan langkah dasar seterusnya.
Untuk fahami lebih mendalam berkenaan dagangan emas dan indikator penting dalam menilai pasaran komoditi, jom sertai komuniti HUSTLE24HOUR Familia dengan ahli-ahli aktif mengadakan perbincangan setiap hari. KLIK LINK UNTUK SERTAI!