Komoditi aset selamat emas nampaknya berkurangan pada awal pembukaan minggu dan mencetuskan kelegaan dalam kalangan pelabur apabila berlakunya pemulihan Wall Street pada dagangan Jumaat minggu lepas.
Pada jam 9.20 pagi, harga emas berada pada paras $3,219.54 iaitu sedikit menurun sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Penghujung minggu lepas, China bertindak balas terhadap kenaikan tarif AS kepada 145% dengan menetapkan tarif ke atas barangan Amerika Syarikat kepada 125%.
Walau bagaimanapun, Beijing berkata mereka akan mengabaikan tindak balas AS seterusnya.
Presiden Donald Trump mempertimbangkan untuk pengecualian tarif ke atas produk semikonduktor China dan rantaian bekalan elektronik berbanding duti 145% yang diumumkan sebelum ini.
Kemas kini tarif ini disambut positif oleh pasaran, kerana ia memberi sedikit kelegaan dan menyokong pemulihan sederhana dolar AS daripada paras terendah dalam tempoh 35 bulan berbanding mata wang utama lain.
Kenaikan Dolar AS dan peningkatan selera risiko terus mengekang pemulihan harga emas, memandangkan para pedagang menantikan laporan Imbangan Perdagangan China serta ucapan beberapa penggubal dasar Federal Reserve (Fed) AS untuk petunjuk dagangan seterusnya.
Pasaran mungkin mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan susulan kenaikan harga emas baru-baru ini, dengan menggunakan alasan bahawa tarif terhadap barangan elektronik dan cip dari China tidak terlalu tinggi.