Pengukuhan dolar AS buat masa ini memberikan tekanan ke atas emas sekitar paras $3,330 apabila situasi politik menjejaskan mood pasaran dengan pelabur melihat perkembangan sekitar konflik Rusia-Ukraine.
Pada jam 9.15 pagi, harga emas berada pada paras $3,331.46 iaitu kekal stabil sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Jumaat lepas, Presiden AS Donald Trump bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk membincangkan kemungkinan gencatan senjata bersama Ukraine, namun pertemuan tersebut masih belum jelas.
Walau bagaimanapun, Donald Trump berkongsi di media sosialnya berkata perang boleh berakhir jika Presiden Ukraine Zelenskiy memutuskan untuk tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Pertemuan Trump dan Zelenskiy yang diadakan pada awal minggu ini di Washington, memberikan tumpuan kepada perjanjian damai yang bukan hanya sekadar gencatan senjata tetapi keamanan yang sebenar.
Pelabur kini berhati-hati menantikan laporan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bagi melihat petunjuk baharu mengenai dasar monetari seterusnya.
Selain itu, Fed Kansas yang akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat tahunan Jackson Hole menjelang akhir minggu ini, di mana ucapan daripada pemimpin-pemimpin bank pusat yang menjadi tumpuan utama pasaran.