Logam kuning berharga mengekalkan posisi di atas $4,200 sejak minggu lepas berikutan keluaran data-data ekonomi Amerika Syarikat yang bercampur-campur serta menguatkan keyakinan pasaran untuk berlakunya pemotongan kadar faedah pada mesyuarat FOMC Fed minggu hadapan.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $4,210 iaitu naik 0.17% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Terkini, data ADP November memaparkan syarikat swasta membuang 32,000 pekerjaan di tengah-tengah kelembapan ekonomi yang berterusan.
Aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan kekal stabil menurut laporan ISM. Sektor ini merangkumi lebih dua pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat dan banyak disokong oleh perbelanjaan isi rumah berpendapatan tinggi.
Perkembangan ini, bersama khabar angin bahawa penasihat ekonomi White House, Kevin Hassett, berpotensi dilantik sebagai Pengerusi Fed seterusnya menggantikan Jerome Powell, telah menekan dolar AS sehingga mencecah paras terendah sejak Oktober.
Indeks Dolar AS (DXY), yang menjejaki prestasi mata wang tersebut berbanding enam mata wang utama lain, susut 0.44% kepada 98.87.
Dalam komoditi, harga emas merosot untuk hari kedua berturut-turut tetapi dilihat berpotensi menguji paras lebih tinggi selepas Majlis Emas Dunia (WGC) melaporkan bahawa bank pusat membeli bersih 53 tan emas pada Oktober iaitu rekod bulanan terkuat bagi tahun 2025.
Seterusnya, tumpuan pasaran akan diberikan kepada jadual data ekonomi AS, termasuk Tuntutan Pengangguran Permulaan bagi minggu berakhir 29 November, tolok inflasi pilihan Fed iaitu Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras (PCE), serta Sentimen Pengguna Universiti Michigan.


















































