Pasaran aset komoditi emas naik tinggi ke posisi $3,080 memulihkan semula harganya yang merosot sejak minggu dibuka apabila ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus menghangat.
Pada jam 9.40 pagi, harga emas berada pada paras $3,080.74 iaitu kekal bertahan sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Presiden AS Donald Trump pada Rabu mengumumkan penangguhan 90 hari pada tarif baharu kepada kebanyakan rakan dagang AS untuk memberi ruang rundingan berlangsung.
Walau bagaimanapun, tarif 125% telah ditingkatkan kepada China akan berkuat kuasa serta-merta disebabkan ‘rasa kurang hormat’ Beijing kepada pasaran dunia, menurut Trump.
Ketidaktentuan ekonomi dan kebimbangan bahawa dasar tarif Trump akan mencetuskan inflasi dan melembapkan pertumbuhan ekonomi yang terus menyokong kedudukan emas.
Buat masa ini, pasaran akan meletakkan kedudukan mereka menantikan laporan inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) yang dibentangkan pada 8.30 malam ini di sesi New York. Data inflasi tersebut akan menjadi petunjuk utama dalam melihat arah paras dolar AS dan emas.