Dagangan logam kuning lemah sejak minggu dibuka apabila pelabur kini sedang meletakkan tumpuan yang tinggi pada mesyuarat Federal Reserve (Fed) pada minggu ini, dengan meletakkan keyakinan bahawa bank pusat akan melonggarkan dasarnya pada awal pagi Khamis.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $4,194 iaitu naik sedikit 0.10% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Data ekonomi terkini yang lebih lemah, termasuk laporan gaji swasta yang merosot serta tanda-tanda penyejukan dalam pasaran buruh, terus mengukuhkan jangkaan bahawa dasar monetari akan dilonggarkan tidak lama lagi.
Pengeluaran tertunda bagi indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) teras AS, tolok ukuran inflasi pilihan Fed turut menunjukkan peningkatan bulanan yang sederhana, manakala kadar tahunan terus menurun.
Namun, kenaikan harga emas masih terhad berikutan mesej bercampur-campur daripada pegawai Fed dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Ada antara mereka yang memberi amaran supaya tidak melakukan pemotongan kadar terlalu awal.
Ketika ini, data daripada CME FedWatch menunjukkan kebarangkalian sebanyak 87.4% untuk pemotongan kadar pada mesyuarat Disember.
Keadaan ini menjadikan tinjauan dasar agak kabur dan meningkatkan risiko perubahan pendirian mengejut daripada Fed.
Para pedagang kini menumpukan perhatian kepada keputusan dasar pada hari Rabu serta sidang akhbar Pengerusi Jerome Powell untuk mendapatkan pengesahan yang lebih jelas sama ada kitaran pelonggaran benar-benar sedang bermula.



















































