Emas tembusi lagi paras tertinggi baharu mencapai $3,674 selepas berita mengenai Israel melancarkan serangan ke atas Qatar, menyasarkan pemimpin Hamas termasuk Khalil Al-Hayya dan Zaher Jabarin.
Media Israel melaporkan bahawa mereka sempat memaklumkan kepada Amerika Syarikat (AS) mengenai serangan tersebut, namun pihak berkuasa Qatar menggelar serangan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
Pada jam 9.20 pagi, harga emas berada pada paras $3,625.07 iaitu kekal mendatar sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Aset selamat logam kuning tersebut sedikit berundur dari puncak harga berikutan terbitan semakan data buruh AS, sentimen ini terus menggugat secara meluas kedudukan rendah buat dolar AS.
Buat masa ini, pemain pasaran kini mengalihkan tumpuan mereka kepada data inflasi Amerika Syarikat (AS). Laporan Indeks Harga Pengeluar (PPI) untuk Ogos pada Rabu dan data Indeks Harga Pengguna (CPI) pada Khamis akan diterbitkan.
Data inflasi akan dinilai seterusnya, selepas angka pekerjaan yang suram dan menjelang pengumuman dasar monetari Federal Reserve (Fed) pada minggu hadapan.