Harga logam kuning berharga melonjak tinggi melebihi 2% semasa dagangan harian Isnin di tengah-tengah peningkatan harapan pemotongan kadar Fed pada mesyuarat Disember nanti.
Selain itu, berita mengenai potensi pembukaan semula kerajaan AS yang sepatutnya menyokong kedudukan dolar AS. Namun pelabur emas enggan membuka peluang pengambilan keuntungan lebih panjang.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $4,129 iaitu naik 0.34% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Hujung minggu lepas, Senat AS meluluskan langkah pembukaan semula kerajaan dengan sokongan daripada beberapa penggubal undang-undang Demokrat.
Presiden AS Donald Trump mengalu-alukan langkah tersebut sambil beliau meyakini bahawa penutupan kerajaan akan berakhir.
Pemimpin Republikan di Senat, John Thune, menjangkakan undian berhubung rang undang-undang pembiayaan sementara (stopgap funding) akan diadakan dalam beberapa jam akan datang. Pada masa sama, Speaker Dewan Rakyat AS, Mike Johnson dilapor berusaha memohon undian ke atas rang undang-undang sama menjelang Rabu, menurut The Wall Street Journal.
Sementara itu, data ekonomi Amerika Syarikat minggu lalu menunjukkan tanda-tanda kelembapan, selepas laporan Challenger dan Sentimen Pengguna Universiti Michigan (UoM) mencatatkan bacaan lemah.
Perkembangan ini mengekalkan unjuran penurunan kadar faedah Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat Disember sekitar 61%, susut daripada 66.8% minggu sebelumnya, menurut CME FedWatch Tool.
Ia berlaku selepas kenyataan berunsur hawkish oleh Pengerusi Fed Jerome Powell pada sidang media selepas keputusan dasar 29 Oktober lalu.



















































