Logam kuning mengekalkan momentum defensif berpanjangan apabila pemain pasaran meletakkan pertaruhan tinggi pada keputusan mesyuarat dasar FOMC minggu ini.
Pelabur terus memberi tumpuan kepada unjuran ekonomi terkini, termasuk dot plot, serta sidang media Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell, bagi mendapatkan petunjuk tentang hala tuju pemotongan kadar pada masa hadapan.
Pada jam 10 pagi, harga emas berada pada paras $4,215 iaitu naik 0.18% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Dalam masa yang sama, jangkaan bahawa bank pusat AS bakal menurunkan kos pinjaman minggu ini serta pertaruhan terhadap lebih banyak pemotongan kadar pada 2026 telah mengehadkan usaha pemulihan USD daripada paras terendah sejak akhir Oktober minggu lalu.
Selain itu, ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan akibat perang Rusia-Ukraine turut menjadi faktor penting, yang berpotensi meningkatkan permintaan aset selamat seperti emas dan menghalang penurunan lebih dalam.
Namun begitu, pergerakan harga yang kekal dalam julat sepanjang minggu lalu menjadikan pelabur lebih berhati-hati untuk membuat pertaruhan baharu, sambil menunggu isyarat jualan yang lebih kukuh sebelum menjangkakan penyusutan tambahan bagi pasangan XAU/USD.
Buat masa ini, tumpuan seterusnya terarah kepada data makro AS yang bakal diterbitkan sepanjang minggu ini untuk mendapatkan dorongan baharu pasaran.




















































