Empire Premium Food Bhd, pengendali rangkaian Empire Sushi merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mendapatkan dana untuk pengembangan cawangan di seluruh negara.
Menurut draf prospektus yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu melibatkan 218 juta saham baharu serta 145 juta saham sedia ada daripada Empire 11 Group Sdn Bhd.
IPO ini menawarkan 33% pegangan dalam kumpulan, dengan 293 juta saham (2.6%) diperuntukkan kepada pelabur institusi dan Bumiputera terpilih, manakala 70 juta saham (6.4%) untuk pelabur runcit.
Daripada tawaran runcit itu, 55 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan 15 juta lagi untuk individu yang layak.
Selepas IPO, pegangan 100% Empire 11, milik bersama Nicole Lim dan Jordan Tan akan berkurang kepada 67%.
Selain itu, syarikat ini memulakan operasi sushi ‘grab-and-go’ pada 2010 dan kini memiliki 120 cawangan Empire Sushi di seluruh Malaysia.
Keuntungan selepas cukai meningkat daripada RM14.59 juta pada tahun kewangan 2023 kepada RM26.23 pada 2024, selaras dengan peningkatan hasil daripada RM137.1 juta (2023) kepada RM184.8 juta (2024) dan RM235.6 juta pada 2025.
Lebih 80% hasil kumpulan diperoleh daripada operasi sushi ‘grab-and-go’, manakala baki selebihnya daripada cawangan sushi ‘quick dine-in’.
Kumpulan itu turut merancang menggunakan dana IPO untuk membuka 56 cawangan baharu, menambah kru perkhidmatan serta menaik taraf cawangan sedia ada antara 2027 hingga 2029.