Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus membara dengan tarif dan ancaman ekonomi bertali arus.
Namun, siapakah yang akan membayar harga sebenar dalam konflik ini?
Sebagai blok ekonomi yang bergantung pada perdagangan global, Eropah menjadi mangsa terbesar yang terhimpit di tengah-tengah pertempuran kuasa antara AS dan China.
Bank Pusat Eropah (ECB) terus bersiap sedia menghadapi kesan buruk, dengan ahli lembaganya, Piero Cipollone, memberi amaran bahawa benua itu berdepan risiko besar.
Walaupun ekonomi Eropah dinilai berada di tahap yang baik dengan inflasi telah mereda kepada 2.5%, ketegangan global boleh menggagalkan pemulihan ekonomi yang masih rapuh.
Dengan tarif 10% terbaru daripada Trump ke atas China, Beijing mungkin membanjiri Eropah dengan barangan murah, memberi tekanan kepada industri tempatan.
Buat masa ini, ECB sudah lima kali menekan butang kecemasan dengan pemotongan kadar faedah sejak Jun, namun ekonomi masih belum dapat pulih sepenuhnya.
Cipollone telah memberi isyarat lebih banyak pemotongan mungkin berlaku, tetapi bukan dalam masa terdekat.
Dengan Eropah tersepit antara strategi ekonomi dua kuasa besar, persoalannya kini – adakah benua ini mampu bertahan, atau sekadar menjadi mangsa dalam percaturan global?