Kesatuan Eropah (EU) dan Indonesia mencapai perjanjian perdagangan bersejarah yang akan menghapuskan tarif atau menurunkannya hampir sifar bagi hampir semua barangan, sekali gus mengukuhkan hubungan dagangan di tengah-tengah langkah proteksionis Amerika Syarikat.
Menurut Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic berkata perjanjian ini turut melonggarkan sekatan ke atas urus niaga bahan mentah utama, dengan anggaran penjimatan tarif sekitar $700 juta untuk pengeksport Eropah.
Perjanjian tersebut dijangka memacu eksport EU ke Indonesia sekurang-kurangnya 30% atau €3 bilion dalam tempoh lima tahun, apabila 96% barangan menikmati tarif sifar.
Antara manfaat utama termasuk pemotongan duti kereta EU daripada 50% kepada sifar, serta pengurangan tarif jentera dan peralatan daripada 30% kepada sifar.
Walaupun larangan eksport nikel Indonesia kekal menjadi pertikaian di WTO, EU tetap memperoleh layanan keutamaan untuk produk bahan mentah lain selepas peringkat pemprosesan pertama.
Bagi EU, perjanjian ini membuka peluang besar untuk mempelbagaikan rantaian bekalan, mengukuhkan pasaran di Asia Tenggara dan mengurangkan kebergantungan kepada AS, yang kini mengenakan tarif 15% ke atas kebanyakan eksport Eropah.
Bagi Indonesia, ia membawa akses lebih besar ke pasaran EU yang bernilai tinggi, walaupun isu seperti peraturan penebangan hutan kekal menjadi cabaran dalam hubungan dua hala.